nasi ape yg baik?
jawapan: nasihat.
so marilah kite saling nasihat menasihati
lets njoy dis article, taken from:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=980
Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila
ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang
juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur
orang lain. Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain
orang, tak perlu jadi ‘busy body’. Adakah kita semakin menjadi manusia
yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi
alasan lain untuk tidak menegur.Barangkali sifat merendah diri atau
memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin
dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.
Persepsi Diri Yang Salah
Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah
kepada mereka yang ber’authoriti’. Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz
atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu
menjadi maksum seperti nabi Muhammad s.a.w. Malu dengan latar belakang
keluarga yang tidak sempurna didikan agama.
Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu
Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya
manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan
terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri
sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat
yang membentuk manusia dari dalam dan luaran.
Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni manusia, alamat kita
sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan perhubungan sesama
manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi, politik,
pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain
kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja.
Allah memberitahu di dalam al Quran yang bererti, hendaklah ada
sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang
kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran
: 104)
Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya
Usul Ad-Dakwah; adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang
terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada
kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada
masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya.
Menasihati bukan satu cara sahaja.
Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada
perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith
atau ayat al Quran yang kadangkala mad’s(orang yang ditegur/didakwah)
pun tidak tercapai akalnya hendak menerima kerana mereka sendiri jahil
mengenainya.
Seorang muslim yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kretif dan
mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia kepada
kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui
tulisan atau lukisan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan
diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum,
tidak mudah marah, suka menolong dan tidak celupar ketika menutur kata.
Allah melihat usaha kita
Pastinya, Allah tidak melihat kepada natijah kepada usaha kita.
Maka, marilah nasihat-menasihati sesama kita kerana tiada kerugian
dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar.